Manusia selalu mendongak ke langit ,
Mencari bulan , bintang dan matahari ..
Tetapi lupa akan adanya awan .
Manusia sering mengagumi keindahan cahaya matahari ..
Sedangkan kalau tidak kerana wujudnya awan , cahaya matahari tidak akan seindah itu memancarkan cahayanya kalau tidak kerana bantuan awan yang berwarna putih .
Ia seolah olah kanvas putih membiaskan berbagai warna di permukaan langit . Manusia selalu merindui awan tetapi kadang kadang merasa terganggu dengan kehadiran awan yang menutup wajah bulan . Kadang kadang panas mentari begitu terik menggigit kulit , kalau tidak kerana awan yang melindungi , sudah lama manusia terbakar rentung . Manusia selalu menanti hujan tetapi terlupa hujan itu terjadi daripada awan . Apabila sinar matahari makin pedih menikam kulit , manusia semakin dahaga , tumbuhan semakin gersang kekeringan , haiwan merintih kehausan , padang yang tidak menghijau bertukar perang ,Angin sudah tidak mendinginkan malah turut menambahkan keringnya kulit dengan tiupan panas meresahkan , barulah kepala didongakkan ke langit . Awan tetap setia datang menurunkan hujan dengan kasih walau sedar ia tidak pernah dirindui . Mereka meraikan dan menari dengan keriangan dalam hujan tanpa sepatah terima kasih kepada awan . Dan aku lah awan itu . Awan yang sanggup menangis , menitiskan air mata untuk membasahi bumi . Jangankan aku dirindu tetapi cacian dan hinaan yang aku terima . Awan hadir dan pergi tanpa dipandang . Ia melindungi dan menyayangi tanpa disedari . Begitulah aku dalam hidup kau . Sentiasa melindungi dan menyayangi . Aku hadir dan pergi tanpa kau sedari .